KUALA LUMPUR – Syarikat yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) susulan penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi di kilang kopi dan kilang biskut di Melaka, diarah menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, syarikat itu turut diarah menarik balik semua produk yang terkesan dari pasaran.
“Syarikat itu turut diarah melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara menyeluruh termasuk proses serta mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.
Sirajuddin berkata, pihak Jakim merujuk kenyataan Exco Agama Negeri Melaka yang disiarkan oleh beberapa media semalam berhubung tindakan penarikan SPHM oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi di kilang kopi dan kilang biskut di negeri tersebut.
Menurut beliau, Jakim menghormati sepenuhnya bidang kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri yang bertanggungjawab dalam pengurusan pensijilan halal serta pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang SPHM.
“Ingin ditegaskan bahawa tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
“Sebarang ketidakpatuhan, khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, Jakim akan terus menggembeleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat dalam memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Ujarnya, tindakan bersepadu akan terus diambil bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara, kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal terjamin, serta sebarang ketidakpatuhan ditangani dengan tegas dan segera. – MalaysiaGazette
















