Foto IG Machan FC.

KUALA LUMPUR – Amateur Football League (AFL) mengesahkan Machan FC sah menarik diri selepas mengharungi 22 perlawanan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026.

Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengesahkan perkara itu selepas menerima surat makluman penarikan diri dari kelab semalam.

“Machan FC telah secara rasmi menarik diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 03 April 2026.

“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu Machan FC dalam menangani masalah yang dihadapi, namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka.

“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri Machan FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi Machan FC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd Raimi, rentetan penarikan diri Machan FC, perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada termasuk pembatalan semua perlawanan yang telah dijadualkan melibatkan Machan FC.

Machan FC turut dikenakan hukuman pengantungan semusim pada 2026/2027 daripada menyertai pertandingan anjuran AFL dan didenda RM20,000.

Perkara itu juga akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk hukuman tambahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast