AMPANG – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kritikan terbuka ke atas parti itu sejak kebelakangan ini melibatkan isu negara dan menjadi amalannya sejak 16 tahun lalu tanpa mengira mana-mana kerajaan yang mentadbir negara.
Ahli Parlimen Pandan berkenaan menjelaskan, isu yang disuarakannya itu perlu dijawab kerajaan kerana membabitkan soal negara, termasuk berkenaan korporat mafia selain tuduhan berkaitan integriti penguat kuasa awam dan agensi.
Jelas bekas Menteri Ekonomi itu, PKR sepatutnya tidak boleh berubah prinsip hanya kerana sudah menjadi kerajaan sedangkan sejak dahulu sering memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Tidak kisah siapa di dalam kerajaan sejak zaman Datuk Seri Najib (Razak) atau sama ada Perdana Menteri itu Tun Mahathir, bagi saya kalau ada perkara yang perlu dijawab oleh mereka yang berkuasa, tak kisah daripada parti mana, Pas pun saya pernah sebut, maka itu perlu disuarakan.
“Sebenarnya itulah inti parti PKR yang berbahaya jika PKR sekarang, bila sudah jadi kerajaan, dia berubah. Jadi dia tak boleh kalau dahulu isu yang bersahabat dengan kepentingan rakyat.
“Apabila disuarakan dan memberi laba kepada PKR, PKR kata itu budaya yang baik. Tapi bila mereka berada di dalam kerajaan, bila isu itu dibawa dan tak dijawab, tiba-tiba timbul soal kena bawa dalam mesyuarat sebab rakyat telah melalui proses itu.
“Semasa PKR saya membawa isu 1MDB, isu rasuah, itulah juga jawapannya daripada UMNO dan bila Pas pun itulah jawapannya.
“Jadi, ini adalah pertembungan antara kehendak rakyat dan bagaimana parti-parti politik yang ada kuasa itu menangani perkara-perkara yang dibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor, Datuk Seri Zaliha Mustafa bersama Timbalannya, Md Ysahrudin Kusni semalam yang menyifatkan tindakannya membuat kenyataan terbuka berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman dan kekuatan parti.
Menurut kenyataan itu, pendekatan menyuarakan isu secara terbuka, khususnya membabitkan tuduhan serius, wajar ditangani dengan lebih berhati-hati supaya tidak menjejaskan disiplin parti dan kepercayaan anggota.
Jika matlamat Rafizi adalah memperkukuh parti kata mereka, adalah lebih baik segala pandangan disalurkan melalui ruang yang sesuai supaya tidak memberi ruang kepada pihak luar untuk memanipulasi keadaan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau hanya membantu menjadi perantara kepada setiap isu yang diperbualkan rakyat hari ini.
Ini kerana, jelas beliau, sekiranya rakyat atau media yang membangkitkannya, isu tersebut tidak sampai kepada ramai orang dan kerajaan tidak menghiraukannya.
“Bila ada orang seperti saya memanjangkan pandangan rakyat, itu yang dia (PKR) jadi panik sekarang. Jadi nasihat saya ialah sebaiknya mereka cuba menangani dan menjawab setiap perkara yang telah dibawa.
“Bukannya cuba membunuh karakter. Dalam politik Malaysia ini, membunuh karakter tidak pernah berjaya. Lebih banyak dia cuba bunuh karakter seseorang, kalau seseorang itu menyuarakan sesuatu dengan rakyat, perkara itu akan jadi lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















