Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, memaklumkan Lembaga Tabung Haji akan melaksanakan program ‘Haji Lestari’ pada musim haji 1447H/2026M bagi menyokong usaha menjaga alam sekitar.

Menurut Zulkifli, program Haji Lestari merupakan inisiatif penting yang selari dengan tuntutan agama dalam memelihara alam sekitar serta tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Untuk makluman semua hadirin juga, pada musim haji 1447H ini, Tabung Haji akan melaksanakan program ‘Haji Lestari’ bagi menyokong usaha menjaga alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada keimanan dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Ia juga selari dengan konsep Maqasid Syariah dalam penjagaan alam sekitar agar tidak musnah dan mengancam nyawa,” katanya.

Beliau berucap dalam program Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Solat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyerahkan sumbangan beg kepada bakal jemaah haji pada Majlis Perasmian Khusus Perdana Haji 1447H bersamaan dengan 2026M di Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad serta Pengarah Haji TH, Hishan Harun.

Dalam pada itu, Zulkifli menjelaskan, melalui program tersebut, jemaah haji lelaki digalakkan menyumbang kain ihram terpakai secara sukarela selepas selesai menunaikan ibadat haji dan umrah di Tanah Suci.

“Kain ihram yang ingin disumbangkan boleh diletakkan ke dalam tong-tong yang akan disediakan nanti di hotel-hotel penginapan jemaah haji di Makkah dan Mina,” katanya.

Tambah beliau, program Haji Lestari merupakan kesinambungan kepada Kempen Kebersihan yang telah dilaksanakan oleh Tabung Haji di Tanah Suci sebelum ini.

“Ia akan dilakukan secara berfasa dan insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang, ia akan diperluaskan kepada barangan lain seperti tuala, beg, pakaian dan sebagainya,” ujarnya.

Zulkifli yakin usaha berkenaan mampu mentransformasikan ihram terpakai daripada bahan yang terbiar kepada impak lebih bermakna, sekali gus memupuk budaya haji yang lestari, bersih, hijau dan bertanggungjawab ke arah amalan sifar sisa.

Penerbangan ke Tanah Suci akan bermula dari 18 April hingga 20 Mei manakala penerbangan pulang dari Tanah Suci bermula dari 4 hingga 30 Jun depan.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast