KUALA LUMPUR – Yayasan Insan Sakan bersama Saloma Kuala Lumpur telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, mangsa kemalangan maut akibat dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang baru-baru ini.
Pengasas Yayasan Insan Sakan juga merangkap Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr Riza Che Umar berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam membantu golongan memerlukan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa, di samping menjadi tanda mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian ini.
“Keprihatinan dan sokongan komuniti amat penting dalam saat-saat sukar seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Program disampaikan di kediaman keluarga Allahyarham di Shah Alam bertujuan meringankan beban kewangan serta memberikan sokongan moral kepada balu mangsa, Nor Nadia Abd Majid dan tiga anaknya.
Turut hadir pada kunjungan ini ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP), Datin Sri Munirah Che Rose.
Allahyarham Amirul Hafiz Omar dilaporkan maut selepas dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam satu kejadian tragis di Klang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak, di mana dua daripadanya kini sedang bersekolah manakala seorang lagi baru berusia dua tahun. – MalaysiaGazette















