A. Kumaresan.

KUALA LUMPUR – Cukuplah sandiwara. Rafizi sudah tidak boleh terus berada dalam parti dan merosakkan parti dari dalam, demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, A. Kumaresan.

Beliau berkata, tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat bukan lagi bersandar pada prinsip sebaliknya hipokrasi politik.

“Demi maruah parti dan keyakinan rakyat, hanya satu langkah yang wajar diambil, Rafizi wajib berundur. Kenyataan Rafizi itu bukan sahaja sombong malah satu bentuk ugutan politik terhadap parti yang tidak boleh diterima oleh mana-mana anggota parti yang berprinsip dan politik sabotaj dari dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Kumaresan, seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang tidak akan sesekali mengugut parti sendiri demi mendapatkan leverage politik.

“Kenyataan ini dengan jelas membuktikan perjuangan beliau hari ini bukan lagi tentang rakyat atau reformasi tetapi tentang kedudukan dan kepentingan peribadi.

“Lebih memalukan, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memimpin kerajaan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Rafizi memilih untuk bermain politik murahan dengan menyerang kepimpinan sendiri secara terbuka.

“Ini bukan keberanian tapi tindakan tidak bertanggungjawab yang melemahkan parti dan kerajaan di mata rakyat,” katanya lagi.

Kumaresan yang juga merupakan Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang turut mempersoalkan usaha Rafizi selama tiga tahun sebagai Menteri Ekonomi yang dilihat tidak bersuara seperti hari ini.

“Mengapa kini hanya lantang di pentas podcast, selepas tidak lagi berada dalam kedudukan kuasa? Lebih membimbangkan, tindakan beliau dilihat sebagai usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada isu skandal pelaburan ARM berjumlah RM1.12 bilion yang melibatkan pegawai di bawah pejabatnya.

“Sehingga hari ini, individu yang dikaitkan, James Chai masih berada di London dan gagal tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan akan menampung tiket penerbangan beliau untuk pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Katanya lagi, jika benar Rafizi merasakan dirinya lebih kuat di luar parti, lebih baik Rafizi berada di luar parti.

“Jangan terus bermain dua muka, keluar sekarang. Lebih satu juta anggota PKR bukan wujud untuk memenuhi kehendak seorang individu.

“PKR adalah parti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu.

Terdahulu, Rafizi mendakwa beliau akan menjadi lebih berbahaya jika berada di luar parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast