KUALA LUMPUR – Penyertaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menzahirkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara yang bersuara dari jauh.
Sebaliknya, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, ia juga memperlihatkan pemimpin negara sanggup berada di barisan hadapan dalam menyampaikan bantuan serta menunjukkan solidariti tinggi kepada rakyat Gaza.
Menurutnya, amanah yang diberikan itu menunjukkan kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kepimpinan Amirudin berikutan idea, visi dan keprihatinan beliau terhadap isu-isu dalam negara dan luar negara.
Ujar beliau, ia termasuk dalam isu-isu melibatkan dunia Islam yang mencerminkan nilai keadilan, keamanan sejagat dan kesederhanaan.
“Malaysia merupakan negara utama selain Iran dan Turki di mana pemimpin utamanya memberikan sokongan penuh serta membantu golongan aktivis pro-Palestin.
“Marilah kita bersama mendoakan agar Pasukan Delegasi dan sukarelawan Sumud Fotilla 2.0 diberikan kesejahteraan dan perlindungan daripada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berharap agar misi kemanusiaan yang membawa 30 kontena bantuan bersamaan kira-kira 374 tan termasuk makanan, ubat-ubatan, dan keperluan harian, tersebut selamat sampai ke Gaza.
Katanya, misi itu juga diharapkan dapat memecahkan tembok halangan, sekali gus membuka jalan kepada bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat Gaza. – MalaysiaGazette
















