JOHOR BAHRU – Konvensyen Keadilan Johor hari ini tegang apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Ramanan diganggu oleh ‘serangan’ oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Semasa ucapan tersebut, Ramanan membuat kritikan terbuka yang dipercayai dituju kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Hassan yang hadir dalam konvensyen secara tertutup tersebut dikatakan tidak berpuas hati sebelum menjerit ke arah Ramanan.

Serangan secara terbuka itu dibuat ketika konvensyen berkenaan sedang berlangsung di Cathay Restaurant Ecospring Johor Bahru di sini hari ini.
Bagaimanpun siaran langsung konvensyen tersebut kemudian disenyapkan sebaik serangan tersebut bermula.
Konvensyen berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Ramanan ketika berucap menegaskan, parti tidak boleh berpecah atau dibelenggu polemik dalaman yang melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau mengingatkan kekuatan sebenar parti terletak pada kesatuan hati serta disiplin seluruh jentera di setiap peringkat.
Dalam nada tegas, beliau turut menyentuh sikap individu yang dilihat kerap mengkritik parti secara terbuka sehingga memberi ruang kepada pihak lawan untuk memanipulasi keadaan.
Kenyataan itu dilihat sebagai merujuk kepada Rafizi yang kebelakangan ini sering mengeluarkan pandangan kritikal terhadap hala tuju parti dan kepimpinan.
“Ini bukan masanya untuk kita berbalas kenyataan di luar. Setiap perbezaan pandangan harus diselesaikan secara dalaman demi menjaga kekuatan parti,” katanya.
Menurut beliau, dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perlu dipelihara dan ia bermula dengan kesepaduan dalam parti sendiri.
Menteri Sumber Manusia itu juga berkata, seluruh jentera PKR di Johor perlu memperkemas persiapan, memperkukuh organisasi serta bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
Konvensyen itu menjadi platform penting untuk menyelaras gerak kerja serta menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan anggota, dengan mesej jelas bahawa kesatuan, kesetiaan dan fokus terhadap perjuangan mesti mengatasi kepentingan peribadi mana-mana pihak.- MalaysiaGazette
















