JASIN – Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di hadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, mangsa berusia 30-an yang memandu sebuah Proton Wira tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya hilang kawalan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.45 sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di sana pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pokok dengan seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang cedera,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, mangsa yang cedera di bahagian kaki kanan kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk dihantar ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















