KUALA LUMPUR – Mana-mana anggota yang berasakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah tidak lagi sesuai atau bukan lagi wadah perjuangannya selari dengan selera masing-masing, boleh memilih keluar daripada terus menjadi barah kepada parti.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tidak timbul sama sekali kononnya kedudukan PKR akan tampak lebih berbahaya jika terdapat mana-mana anggota yang berhasrat meninggalkan parti.
Sebaliknya, ujar beliau, kedudukan PKR akan lebih terancam dengan barah dan duri dalam daging yang menikam setiap masa.
Tegas beliau, PKR pernah melalui episod yang lebih sukar ketika berhadapan dengan pengkhianatan `sikitol’ dan kumpulannya.
“Natijahnya, PKR kembali lebih kuat dan berjaya berdiri sebagai sebuah kerajaan setelah episod `sikitol’ memilih untuk keluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, PKR merupakan sebuah wadah perjuangan politik yang terbuka dalam menerima kedatangan sesiapa sahaja.
Dalam masa sama, ujarnya, PKR juga tidak akan menghalang hasrat mana-mana anggota untuk meninggalkan wadah perjuangan kerana ia merupakan hak masing-masing.
Tambah beliau, selama 27 tahun perjuangan PKR menyaksikan pelbagai watak datang dan pergi, dengan ada yang datang memberi manfaat, namun ada juga yang akhirnya menjadi barah kepada parti.
“Justeru, saya menasihatkan kepada mana-mana pihak yang sudah tidak senada dengan parti, keluarlah dengan cara yang terhormat kerana barah yang merosak akhirnya akan membunuh sekujur tubuh,” katanya.
Ketika ini, desakan supaya bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli keluar daripada parti itu semakin kuat susulan kelantangannya mengkritik Kerajaan Madani dan kepimpinan parti sendiri. – MalaysiaGazette















