KLUANG – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 4.15 petang membabitkan sebuah motosikal dan lori.
“Siasatan mendapati sebuah lori jenis Mitsubishi dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah Sri Lalang menghala ke bandar Kluang.
“Semasa tiba di tempat kejadian sebuah motosikal jenis Yamaha Y125 ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun yang berada di laluan sama dipercayai cuba mengubah haluan dari lorong sebelah kiri ke lorong kanan lalu melanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Katanya, pemandu terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette















