Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) di Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) memberi tumpuan kepada langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil khususnya dalam mendepani ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.

“Konflik ini memberi tekanan langsung kepada ekonomi global dan Malaysia tidak terkecuali dengan ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik yang terus menekan inflasi.

“Lebih membimbangkan, usahawan Bumiputera kini berdepan peningkatan kos operasi serta cabaran aliran tunai yang semakin ketara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JPMEB Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya hari ini.

Susulan mesyuarat itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan pendekatan lebih tegas, pantas dan bersasar melalui tiga tindakan utama.

“Pertama adalah penilaian segera dan menyeluruh di mana semua agensi mandat Bumiputera perlu menilai impak merentasi sektor kritikal seperti makanan dan agro dan pembinaan serta logistik.

“Tindakan kedua adalah intervensi bersasar dan berimpak tinggi di mana kerajaan akan memperkukuh sokongan melalui pembiayaan fleksibel, insentif kos, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penggunaan sumber domestik bagi mengurangkan kebergantungan luar.

“Pendekatan terakhir adalah pelaksanaan tegas dan berakauntabiliti iaitu tiada ruang untuk kelewatan. Semua langkah mesti dilaksanakan serta-merta dengan pemantauan rapi dan pelaporan berkala,” katanya.

Beliau berkata, setiap agensi perlu bertanggungjawab memastikan intervensi ini sampai ke peringkat pelaksanaan dan memberi kesan besar kepada usahawan Bumiputera.

Ahmad Zahid juga menegaskan, mengenai keperluan melangkah lebih jauh daripada tindak balas jangka pendek.

“Fokus jangka sederhana dan panjang akan dipacu melalui pendigitalan, pengukuhan keusahawanan generasi muda, perluasan akses pembiayaan serta penerokaan pasaran baharu.

“Ada keperluan penyelarasan yang lebih berkesan di antara kementerian, agensi, GLIC dan GLC supaya setiap inisiatif benar-benar memberi impak dan tidak bertindan.

“Cabaran ini bukan sekadar krisis yang perlu ditangani, tetapi titik perubahan yang menuntut kita berani melakukan penstrukturan semula.

“Inilah peluang untuk membina ekonomi Bumiputera yang lebih mandiri, lebih kukuh, dan lebih kompetitif dalam menghadapi masa hadapan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak baik kerajaan mahupun institusi, industri dan pemain ekonomi untuk bergerak sebagai satu pasukan.

“Dalam suasana global yang tidak menentu ini, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada kekuatan luar semata-mata. Kita mesti memperkukuh asas dalaman agar ia lebih tersusun, lebih berdaya tahan dan lebih berkeupayaan menciptakan nilai sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast