Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan. Foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan gaji minimum kekal sebagai langkah penting melindungi pekerja, namun sebarang keputusan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan majikan bagi memastikan kelangsungan perniagaan terus terjamin.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, gaji minimum berfungsi sebagai jaminan sosial utama khususnya kepada pekerja swasta berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kira-kira 4.1 juta pekerja di seluruh negara kini menikmati manfaat tersebut.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, enam Perintah Gaji Minimum (PGM) telah dilaksanakan bermula dengan kadar RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia serta RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Terbaharu, PGM 2024 menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan secara seragam di seluruh negara, mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja,” katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan beramah mesra dengan para peserta pada Sesi Libat Urus Bersama Majikan/Kesatuan Majikan dan Pekerja/Kesatuan Pekerja di PICC, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2026.

Beliau berucap pada Sesi Libat Urus Perintah Gaji Minimum 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, pada masa sama, Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2024 sedang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang mensyaratkan semakan dibuat sekurang-kurangnya setiap dua tahun.

Beliau menjelaskan, kajian tersebut telah bermula pada Januari lalu dan dijangka selesai menjelang September ini.

Tambahnya, sesi libat urus yang dianjurkan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam merangka dasar yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Katanya lagi, sesi tersebut turut membuka ruang kepada semua pihak termasuk industri dan masyarakat untuk mengemukakan pandangan serta cadangan, sekali gus memastikan setiap dasar yang dilaksanakan adalah relevan dan memenuhi keperluan semasa negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast