TEHRAN – Iran telah menolak cadangan gencatan senjata dalam perangnya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menurut laporan media kerajaan pada hari Isnin, walaupun terdapat ancaman tegas oleh Presiden AS, Donald Trump, untuk memusnahkan infrastruktur pentingnya.
“Iran telah menyampaikan kepada Pakistan responsnya terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang,” lapor agensi berita IRNA, tanpa mendedahkan kandungan tawaran tersebut.
“Dalam respons ini — yang digariskan dalam 10 perkara — Iran… telah menolak gencatan senjata dan menegaskan keperluan untuk menamatkan konflik ini secara muktamad,” demikian seperti dilaporkan AFP.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan ancaman terbaharu Presiden AS, Donald Trump yang memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas infrastruktur penting Iran sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula.
“Selasa akan menjadi Hari Loji Kuasa, dan Hari Jambatan, semuanya digabungkan dalam satu, di Iran. Tiada apa yang akan menandinginya!” isytihar Trump menerusi kenyataan di platform media sosial Truth Social beliau semalam.
Bagaimanapun, Speaker Parlimen Iran yang berpengaruh, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran keras kepada Trump bahawa ancaman dan tindakan melulu pemimpin itu akan menyebabkan ‘seluruh rantau Asia Barat bakal terbakar’.
Menerusi hantaran di laman sosial X dalam bahasa Inggeris semalam, beliau menegaskan, tindakan dan ancaman Trump itu juga hanya akan menjerumuskan AS dan rakyatnya ke kancah kemusnahan. – MalaysiaGazette
















