KUALA LUMPUR — Ketika PKR berdepan cabaran besar di peringkat nasional, suara dari akar umbi tampil memberi peringatan keras supaya jangan sesekali merobohkan ‘rumah sendiri’ demi kepentingan peribadi.
Ketua PKR Cabang Pokok Sena, Mohd. Altab Pa Ibrahim menegaskan, sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan kesatuan dan disiplin sebagai tunjang kekuatan parti.
“Kami ingin menegaskan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin dan keikhlasan setiap ahli dalam mempertahankan perjuangan bersama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengingatkan PKR tidak akan mampu bertahan sekiranya wujud budaya saling menyerang dari dalam yang akhirnya hanya melemahkan parti di mata rakyat.
“Parti ini hanya akan kuat kalau ahlinya bersatu, bukan saling tikam dari dalam. Bukan kita bakar satu rumah, kemudian berdiri di luar konon jadi penyelamat,” ujarnya.
Dalam nada lebih tajam, beliau turut membangkitkan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa berterusan ‘menyerang’ parti dan presiden secara terbuka walaupun pernah memegang jawatan penting termasuk Menteri Ekonomi, Timbalan Presiden parti, Ahli Parlimen Pandan dan Ketua Cabang Pandan.
“Persoalan kini jelas tertumpu kepada Rafizi, seorang yang pernah memegang jawatan penting sebagai Menteri Ekonomi dan timbalan presiden parti namun realitinya, beliau sendiri dicabar dengan undi tidak percaya oleh ahli cabangnya,” katanya.

Menurut Mohd. Altab, keputusan tersebut mengejutkan apabila hanya 42 undi menyokong Rafizi manakala lebih 45 peratus ahli cabang menyatakan tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dimana satu isyarat jelas bahawa kepercayaan di peringkat akar umbi semakin terhakis.
“Ini adalah gambaran jelas bahawa beliau gagal dan hilang sentuhan dengan akar umbi. Rafizi gagal mendapat kepercayaan di kawasan sendiri. Jika di kawasan sendiri pun gagal meyakinkan ahli sendiri, bagaimana mungkin mahu berbicara soal kepimpinan dan masa depan di peringkat nasional?” soalnya.
Tegasnya lagi, PKR tidak memerlukan ‘hero’ bermusim yang hanya lantang mengkritik tetapi tidak konsisten menggalas tanggungjawab memperkukuh parti di peringkat bawah.
“Dalam keadaan dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, ini adalah masa untuk kita bersatu hati, memperkukuh parti, dan membantu kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri menghadapi cabaran tersebut bukan masa untuk mengambil kesempatan menjatuhkan parti sendiri dari dalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















