Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan Pengasas Bersama, Pengerusi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee (kanan) menyerahkan sumbangan kelas bahasa antarabangsa untuk kanak-kanak di Putrajaya dan bantuan mobiliti komuniti Putrajaya kepada Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir (dua kiri) ketika di Carsome Show Room, Shaftbury Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) memperluaskan program kelas bahasa antarabangsa untuk kanak-kanak dengan sasaran sekurang-kurangnya 240 peserta bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan agar generasi muda menguasai pelbagai bahasa sebagai persediaan menghadapi cabaran global.

Program yang diperkenalkan sejak 2010 itu telah memberi manfaat kepada lebih 570 peserta di Putrajaya.

“Untuk tahun ini, kita adakan dua kohort melibatkan pembelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Mandarin dan Bahasa Korea,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kohort pertama akan bermula dari 11 April hingga 14 Jun, manakala kohort kedua dari 11 Julai hingga 6 September 2026, dengan setiap kohort melibatkan lapan sesi pembelajaran.

Beliau berkata, kelas diadakan pada hujung minggu di empat Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) iaitu Presint 8 (Bahasa Mandarin), Presint 9 (Bahasa Inggeris), Presint 11 (Bahasa Arab) dan Presint 16 (Bahasa Korea).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bergambar selepas menyempurnakan program kelas ‘Bahasa Antarabangsa Untuk Kanak-Kanak’ di Carsome Show Room, Shaftbury Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2026.

Menurutnya, program itu terbuka kepada kanak-kanak dan remaja berumur tujuh tahun ke atas, dengan bayaran pendaftaran minimum RM20 bagi setiap bahasa.

“Bayaran ini bukan untuk keuntungan tetapi bagi memastikan komitmen ibu bapa dan peserta,” katanya.

Tambah beliau, program itu turut mendapat sokongan sektor swasta apabila Carsome Sdn Bhd menyumbang RM40,000 sebagai rakan strategik bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Dalam masa sama, PPj sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membolehkan sijil penyertaan program ini diiktiraf sebagai sebahagian daripada Pentaksiran Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PJSK).

Hannah berkata, program itu juga bertujuan menyediakan alternatif aktiviti berfaedah kepada kanak-kanak khususnya anak penjawat awam di Putrajaya, agar masa lapang dimanfaatkan dengan pembelajaran yang memberi nilai tambah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast