Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan, Kerajaan Persekutuan tidak merayu terhadap formula 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya merayu sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, rayuan tersebut melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan serta dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar Perlembagaan sejak 1974.

“Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2024 berhubung kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 hingga 2021.

“Pengantungan itu sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan bagi mengelakkan rayuan tersebut menjadi akademik dan sia-sia.

“Perintah penggantungan itu tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkenaan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut,” ujar AGC dalam kenyataannya.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan Kerajaan Persekutuan menangguhkan semakan berhubung pengiraan dan pembayaran hasil Persekutuan yang layak diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk tempoh 47 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy sebulat suara berpuas hati wujud keadaan istimewa yang mewajarkan permohonan penangguhan dibenarkan sementara rayuan penuh dilupuskan.

Panel itu berpendapat, selain bertujuan memelihara integriti merit rayuan, Kerajaan Pusat akan berada dalam keadaan yang prejudis jika permohonan penangguhan ditolak.

Mahkamah berpuas hati, semakan itu melibatkan sejumlah dokumen yang banyak yang menyentuh hasil kewangan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 47 tahun bermula 1974 hingga 2021.

Pada 17 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society (SLS).

Hakim berkenaan berpuas hati, Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan dari tahun 1974 hingga 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast