Beberapa pemakluman yang dizahirkan oleh Kementerian Pertanian dalam kenyataannya baru-baru ini berhubung kesan kenaikan harga diesel terhadap pesawah dan industri padi mengandungi beberapa pengumuman yang pada zahirnya kelihatan “komprehensif”, namun secara hakikatnya ia hanya sekadar bersifat teori dan baik di atas kertas.
Kenyataan ini dilihat tidak menjawab apa yang membelenggu para pesawah dan petani, namun meninggalkan persoalan asas yang menekan pesawah: apakah solusi sebenar kerajaan terhadap lonjakan kos operasi akibat diesel, dan bilakah ia akan dilaksanakan? Dalam isu kos sara hidup, rakyat menilai bukan jumlah jawatankuasa yang ditubuhkan, tetapi kejelasan dasar, garis masa, dan impak yang dapat dirasai di lapangan.
KPKM hanya berfikir jangka pendek
KPKM menyatakan bantuan Bantuan Tunggu Tuai (BTT) RM600 ialah bantuan khas one-off bagi musim tanaman 2023 dan 2024 sahaja. Persoalan yang sering diluahkan pesawah pada masa kini, mengapa mengambil masa terlalu lama untuk penjelasan tegas seperti ini dibuat secara terang, awal, dan konsisten? Dalam tempoh hampir dua tahun, isu BTT menjadi bahan keluhan pesawah bukan semata-mata kerana mahu “menuntut” bantuan, tetapi kerana ketidakpastian.
Pesawah bukan pemain pasaran modal yang boleh melaras bajet dengan cepat. Malah untuk mereka melepasi tahap perbelanjaan minimal pada setiap musim pun mereka masih menghadapi kesukaran dan masalah.
Mereka perlu merancang musim yang mendatang, membiayai hutang wajib yang mereka terpaksa hadapi, input dan tenaga kerja berdasarkan jangkaan kos dan sokongan. Kegagalan kerajaan menjelaskan dengan lebih jelas memberi gambaran buruk dari sudut governans.
Mereka seolah-olah “disidai” akibat kegagalan mengurus komunikasi dasar secara awal dan berintegriti. Dalam pentadbiran, kelewatan penjelasan sama bahayanya dengan kelewatan pembayaran, kerana kedua-duanya merosakkan keyakinan. Sepatutnya ia tidak berlaku jika kerajaan itu adalah kerajaan yang kompeten.
Selain kegagalan dalam menguruskan komunikasi, kerajaan juga seolah- olah cuba berlepas tangan dalam isu subsidi input padi seperti benih, baja dan racun. Dalam ketegasan kerajaan mengatakan bahawa kos input ini tidak terjejas walaupun kos baja global meningkat, namun kenyataan ini perlu diuji dengan realiti pelaksanaan secara praktikal.
Persoalan yang berlaku di lapangan, adakah harga yang ditawarkan oleh pembekal input ini masih relevan? Sudah tentu pembekal input khususnya di kawasan seperti MADA, yang lazimnya memenangi tender terbuka untuk pembekalan akan terkesan akibat harga global.
Dalam sistem tender, harga kontrak yang tidak selari dengan pasaran semasa boleh mengakibatkan samada risiko bekalan dan kualiti dimana kualiti baja, kuantiti, atau logistik demi mengekalkan margin ataupun risiko ketidakstabilan pelaksanaan iaitu jadual penghantaran terganggu, Kementerian hanya bersikap lepas tangan dan menyelamatkan diri apabila sekadar menyebut “subsidi diteruskan”, tanpa memberi jaminan ia akan bersekali dengan audit kualiti, dan jaminan bekalan untuk musim semasa.
Diesel: Isu paling besar namun masih belum jelas
Kenyataan KPKM “memantau” dan “meneliti secara menyeluruh” membuktikan bahawa kerajaan tidak bersifat agresif menangani krisis yang berlaku akibat dari isu global. Sepatutnya, kementerian sudah menjangkakan kesulitan yang berlaku bukan sekadar memantau dan meniliti.
Semua sektor termasuklah sektor padi akan terjejas jika sesuatu berlaku kepada bekalan minyak, terutamanya diesel. Masalah diesel ini bukan hanya berlaku seminggu dua ini sahaja, malah kesan kenaikannya telah berlaku semenjak dahulu. Ia akan menjejaskan kos membajak (jentera), kos menuai (combine harvester), kos pam air dan pengairan tambahan semasa kemarau dan kos pengangkutan input (baja, benih) dan hasil (padi).
Sebagai perbandingan, akibat kenaikan harga diesel pada kos membajak pada tahun 2024 pada kawasan sekitar utara adalah RM450 berbanding kenaikan kos sekali ganda menjadi RM825. Kenaikan ini bermula diawal krisis peperangan Iran-USA dan ia dijangka naik selepas harga diesel semakin naik.
Walaupun di awal tahun 2025, selepas kenaikan harga diesel, KPKM menyebut bantuan pembajakan dinaikkan RM60 sehektar daripada RM100 dan memperkenalkan bantuan upah menuai RM50 sehektar, bantuan itu benar-benar belum dapat menampung lonjakan harga upah membajak.
Apa yang kerajaan patut lakukan jika benar serius?
Jika kerajaan mahu isu ini selesai secara berwibawa dan tidak dipolitikkan, sekurang-kurangnya beberapa langkah perlu dipertimbangkan, antaranya KPKM perlu menerbitkan satu angka “benchmark” kos operasi per hektar (pra dan pasca penyasaran diesel), kemudian umumkan bantuan berdasarkan jurang tersebut.
Ini akan mematikan tuduhan rambang, kerana semua pihak merujuk angka yang sama. Selain itu, sebagai respon berkenaan perbekalan baja dan tender kepada situasi semasa, KPKM perlu jelaskan sama ada kontrak mengandungi klausa pelarasan harga, bagaimana audit kualiti dibuat, dan bagaimana bekalan dijamin supaya pesawah tidak menjadi mangsa “harga atas kertas, masalah di lapangan”.
Langkah lain yang perlu disegerakan adalah Skim Diesel Bersasar untuk Pesawah dan Aktiviti Padi. Bantuan harus terus mengikat kepada operasi, iaitu kad/kuota diesel bersubsidi untuk aktiviti pembajakan perlu diperkenalkan. Ia termasuk penggunaan diesel untuk penuaian dan pengairan padi, dengan pengesahan melalui rekod MADA/agensi berkaitan.
Penutup
Sudah menjadi kebiasaan di pihak KPKM, mereka cuba memainkan persepsi bahawa kerajaan sedar isu diesel dan kos pesawah. Tetapi kesedaran sahaja tidak cukup. Yang ditunggu pesawah dan rakyat Malaysia adalah “apa keputusan yang akan dibuat dan bila”.
Ini kerana krisis kos pesawah bukan isu kecil. Ia bukan sekadar kebajikan satu kelompok, tetapi berkait langsung dengan keterjaminan makanan negara dan harga beras yang akhirnya ditanggung rakyat.
Jika kerajaan benar-benar mahu memulihkan keyakinan, ia perlu meninggalkan ayat selamat dan bergerak kepada dasar yang boleh diukur: angka, garis masa dan mekanisme pelaksanaan.Jika tidak, setiap minggu kita akan mendengar kenyataan baharu—tetapi pesawah tetap menanggung kos yang sama.
Dr Mukhtaruddin
Pengarah Urusan YSL &
Setiausaha LATAS
















