Kes saman fitnah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap pengendali Facebook Mohd Fauzan Madzlan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap pengendali Facebook, Mohd Fauzan Madzlan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Persetujuan tersebut disepakati selepas pengendali Facebook tersebut bersetuju yang Fahmi tidak menyampaikan ceramah politik di dalam Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 2023.

Perkara itu disampaikan oleh peguam Fahmi, Fahri Azzat kepada kepada Hakim, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui menghargai persetujuan pengendali Facebook tersebut.

“Saya ucap terima kasih kepada Fauzan atas persetujuan kita selesaikan dengan cara baik dan pengesahan beliau itu amat saya hargai,” katanya sambil ditemani pasukan peguamnya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, perkembangan kes saman fitnah terhadap dua lagi individu iaitu Wan Azri Wan Deris ataupun Papagomo dan pendakwah, Ahmad Dusuki Abd Rani akan diketahui petang ini.

Sebagai rekod, Fahmi sebelum ini menyaman tiga individu berkenaan  untuk membersihkan nama beliau daripada spekulasi memberikan ceramah politik di masjid dalam tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast