KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius isu aktiviti tidak sihat melibatkan segelintir anak muda di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan awam adalah tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani secara tegas melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan negeri berpandangan bahawa isu ini tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda Kelantan.
“Hakikatnya, majoriti anak muda di negeri ini aktif dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan serta pelbagai program pembangunan diri yang positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bagi menangani isu itu secara berkesan, kerajaan negeri mengguna pakai pendekatan bersepadu yang merangkumi aspek penguatkuasaan termasuk kerjasama erat bersama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta MAHB.
Katanya, kerajaan negeri memberi sokongan terhadap operasi penguatkuasaan berterusan di kawasan berisiko selain pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.
Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan belia serta menyediakan kemudahan riadah dan aktiviti alternatif.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa isu sosial seperti ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti dan anak muda sendiri.
“Dalam konteks ini, pembinaan nilai, disiplin dan tanggungjawab perlu diperkukuh agar setiap individu memahami batas kebebasan serta menghormati keselamatan dan kepentingan awam,” katanya.
Dalam masa sama, tegasnya, kerajaan negeri akan terus komited untuk memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara; memperkasa pembangunan belia secara holistic dan menyediakan ruang dan peluang yang konstruktif kepada anak muda.
“Isu ini harus ditangani secara bijaksana dan berfokus kepada penyelesaian jangka panjang, bukannya melalui pelabelan atau persepsi yang tidak membantu usaha membina generasi masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan sekumpulan ‘mat rempit’ melakukan aksi berbahaya di hadapan (LTSIP) Pengkalan Chepa sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan pihak JPJ menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan berkenaan.
Tegasnya, mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit di hadapan lapangan terbang akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal serta-merta. – MalaysiaGazette
















