KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan menyerahkan wang ganti rugi sebanyak RM50,000 setelah memenangi kes saman fitnah Datuk Mas Ermieyati Samsudin ke dalam akaun wakaf MARA.
Asyraf Wajdi mahu menunaikan janjinya di mana wang kemenangan kes saman fitnah itu akan dimanfaatkan pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim yang lebih memerlukan daripada dirinya sendiri.
“Sebagaimana janji saya setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi. Bahkan saya sudah minta pengurusan MARA untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun WAKAF MARA,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka selepas mengakui mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap Asyraf Wajdi selaku Pengerusi MARA.
Asyraf Wajdi dalam satu perkongsian di laman media sosialnya berkata, permohonan maaf itu direkodkan menerusi Penghakiman Persetujuan di Mahkamah Tinggi Melaka yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Yang Arif Tuan Isa Aziz Ibrahim.
Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau dan MARA.
Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.
Asyraf Wajdi turut berharap kes tersebut dijadikan pengajaran berguna kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.
“Terima kasih kepada barisan peguam MARA yang diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















