Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada sebarang sekatan dikenakan kepada rakyat untuk menggunakan MyKad masing-masing bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias yang sebenarnya merujuk kepada siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya.

“Dalam hal ini, JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan jabatan itu hari ini.

Menurut JPN, siasatan yang dijalankan adalah selaras dengan bidang kuasa jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri, dan bukan bertujuan menghalang mana-mana pihak daripada menerima subsidi kerajaan.

Bagaimanapun, jabatan itu memberi amaran bahawa penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan.

“JPN bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan,” kata JPN lagi.

Menurutnya, kes yang dilaporkan melibatkan dakwaan penyalahgunaan empat keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan, dan tindakan diambil berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyerahkan MyKad kepada mana-mana pihak bagi sebarang urusan termasuk pembelian bahan api bersubsidi, bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.

JPN pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memelihara integriti sistem pendaftaran negara, manakala penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan subsidi di bawah BUDI95 terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast