Norhazni hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM9,111 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa pepejal kira-kira empat tahun lepas.

Tertuduh, Dr. Norhazni Mat Sari, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Norhazni menerima bayaran itu secara tanpa balasan bagi membaik pulih rumah miliknya di Jalan Putra Bahagia 8/4H, Persiaran Putra Bahagia, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 25 Mei 2022.

Pembayaran itu dibuat secara pindahan atas talian ke dalam akaun Public Bank Berhad Cawangan Klang, Jalan Dato’ Yusof Shahbudin, Taman Sentosa, Klang milik Kah Yong Contruction & Engineering Sdn. Bhd.

Bayaran berkenaan dibuat oleh Pengarah Syarikat E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, Tang Siong Hee yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi dengan tertuduh.

Penjawat awam itu melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon agar jaminan tertuduh menggunakan ikat jamin kesnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang akan didengar bersama enam kes lain.

Jumaat lalu, Norhazni didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada syarikat sama, empat tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast