GEORGE TOWN – Percutian seorang wanita berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Tanjung Tokong, di sini semalam.
Mangsa berusia 27 tahun yang bekerja sebagai eksekutif sebuah syarikat itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada hospital berkenaan.
“Wanita itu ditemukan oleh pasangannya dalam keadaan lemah kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mandi sebelum tidak sedarkan diri ketika berehat di atas katil bilik hotel tersebut.
“Pasukan perubatan bersama ambulans kemudian dipanggil bagi memberi bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11.46 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, wanita yang berasal dari Langkawi, Kedah itu datang ke negeri ini bersama pasangannya untuk bercuti sejak Jumaat lalu dan menginap di hotel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap badan mangsa dan siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Keputusan laporan bedah siasat adalah bergantung kepada siasatan lanjut termasuk analisis makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















