Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Asnida Abdul Daim hadir ke Mahkamah Sesyen Jenayah KL bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kegagalan mematuhi notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan oleh SPRM, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 07 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis bagi mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat.

Asnida, 60, yang memakai baju dan berselendang biru gelap dalam nada tenang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mengemukakan satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023.

Notis berkenaan dihantar kepadanya oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi pada 14 November 2023.

Bagaimanapun, beliau didakwa gagal mematuhi notis tersebut apabila tidak mengisytiharkan harta melibatkan pegangan saham dalam lima syarikat, iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding masih berjalan ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast