KUALA LUMPUR – Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Wakil media sudah mula menunggu seawal jam 7.30 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi mengikuti prosiding berkenaan.
Semalam, peguam Asnida, Yu Ying Ying telah mengesahkan anak guamnya akan didakwa di mahkamah hari ini.
“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Jalan Duta pagi ini,” katanya ringkas kepada media.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu dijadualkan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.
Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 merujuk kepada kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Semalam, Asnida hadir ke Ibu Pejabat SPRM kira-kira 9.50 pagi bersama peguamnya sebelum diambil keterangan bermula jam 10 pagi selama hampir lima jam.
Bagaimanapun, tiga lagi anak Allahyarham Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin tidak hadir untuk memberi keterangan seperti dijadualkan.
Difahamkan, mereka dipercayai masih berada di luar negara.
Selain itu, seorang individu yang juga kenalan rapat keluarga berkenaan turut berdepan tindakan serupa.
Sebelum ini, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas serta tidak mematuhi dua notis rasmi berkaitan perisytiharan aset.
Notis berkenaan dikeluarkan selepas usaha menghubungi kesemua individu terbabit tidak berjaya setakat 26 Februari lalu.
Kes itu adalah sebahagian daripada siasatan di bawah Ops Godfather yang dijalankan SPRM melibatkan dakwaan pemilikan aset dan syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan Allahyarham Daim, ahli keluarga serta sekutu perniagaannya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.- MalaysiaGazette
















