JOHOR BAHRU – Bekas pegawai eksekutif jualan sebuah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah lebih RM1 juta.
Rafidah Abdul Hamid, 48, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya telah menggunakan wang berjumlah antara RM73,000 hingga RM317,610 untuk kepentingan dirinya.
Tertuduh yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Ibrahim di sini antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.
Hakim Che Wan Zaidi kemudian menetapkan RM40,000 untuk jaminan bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan seorang penjamin, passport diserahkan, tidak mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 6 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, pengurus syarikat terbabit yang berusia 63 tahun membuat laporan polis pada 31 Mac lalu selepas menerima panggilan daripada sebuah firma guaman berhubung satu perjanjian jual beli hartanah melibatkan dua individu.
Hasil semakan dalaman syarikat mendapati tiada rekod rasmi berhubung urusan jual beli berkenaan direkodkan dalam sistem atau akaun syarikat.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh yang berkhidmat sejak 2021 dipercayai menerima sejumah wang daripada seorang pembeli pada Januari 2024 namun wang itu tidak diserahkan kepada bahagian akaun atau dimasukkan ke dalam akaun rasmi syarikat.
Tertuduh juga didakwa memalsukan tandatangan pegawai syarikat dalam dokumen perjanjian jual beli yang disediakan firma guaman bagi melengkapkan urusan berkenaan.
Selain itu, tertuduh turut dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk menerima sejumah wang daripada seorang individu lain pada tahun sama.
Syarikat terbabit hanya menyedari perkara itu selepas menerima pertanyaan daripada pihak guaman sebelum membuat laporan polis bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















