MELAKA – Pengguna jalan raya di Jalan Bertam Malim, Cheng di sini dikejutkan dengan satu dentuman kuat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan yang turut mengakibatkan sebuah Proton Saga terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an dilaporkan cedera sebelum berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi.
Saksi, Shahrizal Ahmad, 48, berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat dari bangunan tempat kerjanya kira-kira 40 meter dari lokasi sebelum melihat beberapa kenderaan berlanggar dan sebuah daripadanya terbakar.
“Saya nampak beberapa individu dari kenderaan lain turut cedera namun mujurlah mereka sempat menyelamatkan diri. Waktu itu, saya lihat ada juga mangsa yang dibantu orang awam,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Sihan Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, nahas membabitkan lima kenderaan iaitu Toyota Vios, Mercedes, kren Tadano, Perodua Bezza dan Proton Saga FLX.
“Kebakaran melibatkan Proton Saga FLX dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya sambil menambah punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















