KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap dua anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin selepas didapati gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.
Dua individu terbabit ialah Muhammed Amir Zainuddin, 31, dan Muhammed Amin Zainuddin, 27.
Turut dikenakan tindakan sama ialah seorang ahli perniagaan, Josephine Premla, 65, yang juga gagal hadir walaupun telah diberikan notis oleh SPRM.
Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas berpuas hati terdapat asas untuk mempercayai ketiga-tiga mereka mengetahui mengenai notis yang dikeluarkan, namun tetap tidak hadir ke mahkamah.
“Saya percaya penama-penama ada pengetahuan mengenai notis yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi mereka masih gagal untuk menghadirkan diri.
“Permohonan pendakwaan mempunyai merit, dengan itu waran tangkap dikeluarkan,” katanya ketika membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti hujahan pihak pendakwaan yang memohon waran tangkap dikeluarkan berikutan kegagalan ketiga-tiga individu terbabit untuk mematuhi arahan hadir.
Sementara itu, pagi ini di Mahkamah Sesyen di sini, seorang lagi anak bekas Menteri Kewangan itu, Asnida, 60, didakwa di hadapan Hakim Rosli Ahmad atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat, kira-kira tiga tahun lalu.
Asnida bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dirinya dibicarakan sebelum membayar wang jaminan sebanyak RM50,000 selain syarat lain termasuk menyerahkan pasport beliau. -MalaysiaGazette
















