Seorang ibu tunggal yang menghantar komunikasi jelek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal yang menghantar komunikasi jelik antaranya mencaci Sultan di Malaysia dan di Brunei termasuk mengaku dirinya guru kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Nurul Huda Mohd Bajuri, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya di laman TikTok ratunurutriratubalqis iaitu, ‘Saya adalah insan yang merupakan guru kepada Ketua Negara Malaysia Ke-17 iaitu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Mahmud Iskandar termasuk para Sultan di Malaysia’ dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya di Instagram ratunurutriratubalqis iaitu, ‘Tetapi Sultan di Malaysia dan di Brunei, mereka itu tetap sial, celaka lagi durjana. Wahai umat Islam, Allah langit ketujuh. Allah mengharamkan penggunaan nama istimewa Darussalam di mana-mana negara, negeri juga daerah di bumi neraka.’

Kedua-dua hantaran itu dibaca oleh seorang lelaki di sebuah pangsapuri Sri Larkin B, Jalan Tun Abdul Razak di sini, antara kira-kira pukul 4 petang pada 27 Mac lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan dikendalikan Mohamad Afdhallan Syafiq Azmi memohon jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta dua penjamin warga tempatan.

Peguam, Nurul Hidayah Mohammad Asri yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan, tertuduh merupakan seorang janda yang menanggung seorang anak berusia 16 tahun serta bekerja sebagai penasihat dengan pendapatan RM3,000.

Mohd Azhar kemudian menetapkan Nurul Huda diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan ke mahkamah jika ada, perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain turut menetapkan 8 Mei sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pada Selasa lalu, portal ini melaporkan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana di sini bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, pengakuan wanita tersebut tersebut dan beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu.

Beliau memberitahu, video-video klip yang tersebar itu didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’,” ujar Mohd Fared.

Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.

Akaun TikTok bernama @ratunurputriratubalqis memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah satu video berkenaan memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa yang kononnya telah dihidupkan kembali.

Terdapat video dalam akaun tersebut turut menunjukkan wanita berkenaan didakwa mengakui kononnya merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast