JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor perlu proaktif menangani risiko 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berisiko gulung tikar dan bukan dengan menafikan hakikat atau memberi angka kejayaan sebelum berlakunya krisis di Asia Barat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syafiq Aziz berkata, isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk pemain industri adalah lebih kepada kesan yang sedang terbentuk akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
“Kenaikan harga tenaga global, gangguan rantaian bekalan serta tekanan kos import adalah realiti yang sedang berlaku dan kesannya lazimnya tidak serta-merta tetapi akan dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, khususnya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Dalam konteks ini, angka yang disebut mengenai potensi puluhan ribu PMKS terjejas perlu dilihat sebagai amaran awal supaya langkah intervensi dapat dirangka lebih awal, bukan ditolak semata-mata kerana perbezaan metodologi,” katanya dalam kenyataan.
Syafiq berkata, menilai ekonomi hanya berdasarkan data semasa tanpa mengambil kira risiko mendatang boleh membawa kepada kelewatan dalam membuat keputusan dasar.
Jelas beliau, hakikatnya majoriti PMKS di Johor berada dalam kategori mikro yang mempunyai margin keuntungan yang sangat kecil dan daya tahan kewangan terhad.
Sebarang peningkatan kos walaupun kecil boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan operasi mereka.
Justeru fokus utama pada ketika ini bukan sekadar mempertahankan angka pertumbuhan tetapi memastikan tiga langkah dilakukan.
Pertama, katanya, langkah mitigasi kos dilaksanakan segera termasuk intervensi terhadap kos logistik dan rantaian bekalan,
Beliau berkata, keduanya, adalah akses pembiayaan dipermudah termasuk pertimbangan moratorium bersasar bagi sektor terjejas,
Sementara ketiga, katanya, sokongan bersasar kepada sektor paling terdedah dipercepatkan
“Bersatu Johor berpendirian bahawa dasar ekonomi yang berkesan bukan hanya mengurus keadaan hari ini, tetapi mengantisipasi cabaran masa depan sebelum ia menjadi krisis sebenar.
“Tempoh masa untuk bertindak semakin singkat dan kelewatan hari ini akan menjadi kos yang lebih besar kepada ekonomi negeri dalam masa terdekat,” katanya.
Pihaknya juga menggesa kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih proaktif dengan menerbitkan penilaian risiko sektor, mengenal pasti PMKS berisiko tinggi dan memperkenalkan pelan intervensi awal yang komprehensif.
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, rakyat dan usahawan tidak memerlukan polemik tetapi memerlukan kepimpinan yang bersedia lebih awal dan bertindak sebelum terlambat.
Beliau berkata, apabila krisis berlaku, angka tidak lagi menjadi hujah yang diuji adalah kesiapsiagaan kerajaan.
Khamis lalu, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Teraju), Datuk Ismail Karim dilaporkan berkata, kira-kira 40,000 PKS di Johor berisiko gulung tikar akibat krisis tersebut.
Ismail berkata, ini kerana kesan yang akan dirasai lebih teruk daripada krisis kewangan pada 1997, pandemik Covid-19 atau mana-mana krisis sebelum ini.
Susulan itu, Syafiq menggesa kerajaan untuk melaksana lima langkah bagi menyelamatkan 40,000 PKS terbabit yang berisiko.
Bagaimanapun sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah menafikan kenyataan kira-kira 40,000 PKS di Johor berisiko gulung tikar dan menganggap ia retorik politik dan tidak berasaskan keseluruhan data.
Beliau dilaporkan berkata, kenyataan itu juga tidak ada hujah sokongan yang berpotensi mengelirukan persepsi awam serta komuniti perniagaan khususnya di Johor. – MalaysiaGazette















