Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park di Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat melibatkan laluan strategik Selat Hormuz memberi memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global termasuk industri halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gangguan berkenaan bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga, malah mencetuskan kesan domino kepada industri halal daripada peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran hingga ketidaktentuan akses pasaran.

“Dalam dunia yang semakin tidak menentu hari ini, industri halal global tidak lagi hanya berdepan cabaran pasaran tetapi turut terkesan secara langsung oleh perkembangan geopolitik antarabangsa.

“Gangguan ini bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga tetapi turut mencetuskan kesan domino kepada industri halal daripada peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran sehinggalah kepada ketidaktentuan akses pasaran.

“Produk halal, khususnya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal, sangat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peningkatan kos tenaga dan bahan mentah turut memberi tekanan kepada pengeluaran termasuk dalam sektor pertanian.

“Dalam beberapa sektor, baja sahaja boleh menyumbang sehingga 60 peratus daripada kos pengeluaran, sekali gus memberi kesan langsung kepada keseluruhan rantaian nilai makanan halal negara.

“Namun, di sebalik cabaran ini, ketidaktentuan global sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan.

“Keupayaan negara mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik menjadi faktor penting memastikan industri itu terus berkembang,” katanya.

Justeru, tegas beliau, KKDW komited untuk menghubungkan pengusaha dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pasar raya besar di luar negara bagi memastikan produk ini mempunyai ‘pasport’ untuk menembusi pasaran ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Asia Timur melalui platform perdagangan digital dan pameran antarabangsa seperti MIHAS.

“Kita mahu melahirkan lebih banyak ‘Halal Champions’ dalam kalangan Bumiputera yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran tempatan, tetapi berani bersaing di peringkat antarabangsa.

“Malah pembangunan pusat industri seperti PERDA Halal Park mampu menjana peluang ekonomi, mengurangkan penghijrahan belia ke bandar serta meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.

“Selain itu, penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan sistem blockchain perlu diterokai bagi memperkukuh pemantauan kualiti serta pengesanan sumber halal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast