Tangkap layar daripada video tular menunjukkan sebuah kereta terbakar selepas terlibat dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Bertam Malim, Cheng, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Proton Saga yang dipercayai menjadi punca nahas enam kenderaan sebelum terbakar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Cheng Heights di sini pagi tadi disahkan milik warga asing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, pemandunya pula, masih gagal dikesan sehingga kini, setelah hampir 11 jam nahas yang berlaku jam 9.51 pagi tadi.

“Setakat ini, kita percaya pemandu Proton Saga berkenaan dipercayai menghilangkan diri sejurus kemalangan berlaku dan sehingga kini masih gagal dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan juga mendapati tiada rekod menunjukkan pemandu terbabit mendapatkan rawatan di mana-mana hospital setakat ini.

“Semakan awal mendapati kenderaan Proton Saga tersebut berdaftar atas nama seorang individu warga asing, namun status sama ada kenderaan itu disewa atau milik peribadi masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaki berkata kejadidan dipercayai ketika Proton Saga yang datang dari arah Malim hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Mercedes Benz.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan terbabit berpusing lalu melanggar sebuah Toyota Vios dan Perodua Bezza selain turut melibatkan sebuah Nissan Van serta Toyota Camry menjadikan keseluruhan enam kenderaan terlibat.

“Dua mangsa yang menaiki Toyota Vios iaitu pemandu berusia 63 tahun dan penumpang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan di kepala, mata dan kaki kiri sebelum menerima rawatan di hospital,” katanya.

Tambahnya, identiti pemandu Proton Saga masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan pemandu sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), siasatan susulan di lokasi dan hospital.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Ikhram Azmi di talian 011-26559539 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sudah sampai masa JPJ memeriksa kenderaan yg lebih dari 20 tahun…kebanyakkan dimiliki oleh warga asing..jgn lah bila berlaku kemalangan baru sibuk nak buat itu ini. Kerja lah dgn amanah

Comments are closed.