Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah lori rosak di Kilometer 216 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Alor Gajah, Melaka petang semalam. ketika dalam perjalanan pulang dari menghantar kasut milik abang rakannya itu.

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah lori rosak di Kilometer (KM) 216, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.35 petang itu, penunggang motosikal berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di muka dan kepala ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar kasut milik abang rakannya itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata,
pembonceng motosikal, remaja lelaki yang juga rakan sebaya mangsa pula cedera di kepala dan patah pergelangan tangan.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian dua remaja berkenaan dalam perjalanan dari Seremban ke Melaka selepas menghantar kasut milik abang pembonceng.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi nahas, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dipercayai gagal dikawal sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang sedang berhenti,” katanya.

Siasatan uga mendapati, lori terbabit dipercayai mengalami masalah pada tayar belakang dan berhenti di susur laluan keluar ke laluan utama lebuh raya tanpa sebarang tanda kecemasan atau amaran.

“Kedua-dua mangsa baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak bekerja dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif bahan terlarang,” katanya.

Muhammad Zaki berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast