Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan beliau menolak peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilakukan Ketua Pemuda UMNO itu pada Januari lepas.

Beliau berkata justeru, Dr Muhamad Akmal diharap dapat meneruskan tugasnya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri.

“Saya telah buat keputusan untuk menolak surat peletakan jawatan beliau sebagai Exco. Hak menerima atau menolak (peletakan jawatan) ialah hak ketua menteri,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Jus Fasa Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas status peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal sebagai Exco sebelum ini.

Pada Januari lepas, media melaporkan Dr Mohamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Melaka yang disandang sejak April 2023.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut di hadapan lebih 2,500 perwakilan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis berkenaan.

Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sekali gus menyahut desakan pemimpin DAP yang sebelum ini menuntutnya mengambil pendirian sedemikian, susulan gesaan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast