KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenaikan mendadak harga diesel yang kini mencecah sekitar RM6.02 seliter, sambil mempersoalkan lebihan hampir RM1.30 bagi setiap liter yang didakwa tidak munasabah serta menuntut penjelasan telus daripada kerajaan.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, berdasarkan kiraan asas pasaran global, harga minyak mentah sekitar AS$100 setong bersamaan kira-kira RM2.96 seliter, ditambah kos penapisan, logistik dan margin industri sekitar RM1 serta cukai dan keuntungan sekitar RM0.80, menjadikan harga diesel yang munasabah dianggarkan antara RM4.50 hingga RM4.80 seliter.
Namun beliau berkata, harga semasa RM6.02 seliter menimbulkan persoalan besar mengenai ke mana perginya lebihan yang ditanggung rakyat.
“Perkasa ingin membangkitkan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2022 yang sebelum ini menyatakan akan memperkenalkan formula telus bagi menurunkan harga minyak, namun sehingga kini masih belum dibentangkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Irwan Fahmi lagi, penggunaan diesel yang jauh lebih tinggi berbanding petrol kerana melibatkan sektor logistik, pengangkutan, industri dan pertanian akan memberi kesan langsung kepada ekonomi.
“Kenaikan diesel bukan isu individu, tetapi memberi kesan berantai kepada seluruh negara termasuk peningkatan kos pengangkutan dan harga barang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan bahawa stok simpanan minyak negara mencukupi sehingga Mei.
Katanya, jika stok mencukupi dan berkemungkinan dibeli pada harga lebih rendah, kenaikan harga diesel pada masa ini dilihat tidak selari dengan logik pasaran.
“Jika bekalan mencukupi dan kos lebih rendah, kenapa harga tetap dinaikkan dan rakyat terus dibebankan?” soalnya.
Pada masa sama, Irwan Fahmi mempertikaikan alasan kerajaan yang mengekalkan subsidi di Sabah dan Sarawak atas faktor geografi.
Beliau menjelaskan, isu penyeludupan bahan api ke Indonesia masih berlaku dengan kerugian dianggarkan antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dasar antara wilayah.
Irwan Fahmi turut berpandangan kerajaan gagal menetapkan keutamaan apabila rakyat terus dibebankan dengan kos bahan api tinggi.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengurangkan saiz kabinet, memotong gaji dan elaun menteri serta mengawal pembaziran dalam pentadbiran sebelum mengenakan tekanan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Irwan Fahmi menegaskan, Perkasa mengemukakan beberapa tuntutan utama kepada kerajaan antaranya pendedahan formula sebenar harga bahan api, penjelasan struktur harga sehingga RM6.02 seliter, jawapan berhubung isu stok simpanan minyak negara, dasar yang konsisten antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta pengurangan kos pentadbiran sebelum membebankan rakyat.
Perkasa kata beliau menegaskan, rakyat kini semakin peka dan akan terus menilai tindakan kerajaan dan menggesa agar retorik dihentikan dan digantikan dengan ketelusan serta kejujuran dalam pentadbiran. – MalaysiaGazette
















