KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan meminta pihak TikTok menjelaskan kesan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat terhadap operasi TikTok Shop khususnya melibatkan aspek logistik penghantaran dan perkhidmatan.
Beliau berkata, maklumat itu akan diperoleh bagi dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan berlangsung Selasa depan.
“Penelitian itu penting bagi memahami impak krisis geopolitik dan tenaga terhadap rakan niaga serta keseluruhan ekosistem TikTok Shop, termasuk perkhidmatan berkaitan yang menyokong operasi platform berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program TikTok Shop Raikan Raya 2026 di sini malam ini.
Hadir sama, timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengarah Kanan Kerjasama Strategik Tik Tok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan, ketika ini terdapat lebih tujuh juta live streamers terlibat dalam ekonomi TikTok Shop yang telah menjana hasil sebanyak RM1.9 bilion serta mewujudkan kira-kira 147,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, pencapaian itu membuka ruang luas kepada rakyat untuk terlibat dalam ekonomi digital, sama ada dengan memasarkan produk sendiri atau membantu menjual produk pihak lain melalui platform tersebut.
Pada masa sama, beliau akan menggesa TikTok Shop bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini mempunyai hampir 1,100 cawangan di seluruh negara.
“Banyak NADI berada di kawasan luar bandar dan boleh dimanfaatkan untuk melahirkan pencipta kandungan serta membantu komuniti menjual produk tempatan secara dalam talian melalui TikTok Shop,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan Pengerusi MCMC dijadual bertemu pihak pengurusan TikTok di Singapura pada Jumaat ini bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk isu berkenaan.
Beliau berharap kemudahan internet yang pantas dan meluas di Malaysia dapat terus dimanfaatkan rakyat untuk menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan rumah selain membantu peniaga mengembangkan perniagaan melalui jualan dalam talian.
“Ini membuktikan keupayaan Malaysia mengadaptasi teknologi baharu di samping usaha kerajaan memastikan capaian internet yang pantas, meluas dan mampu milik,” katanya. – MalaysiaGazette
















