Tugas PKA melibatkan pergerakan berterusan ke pelbagai lokasi termasuk kawasan luar bandar bagi menjalankan pemeriksaan, penguatkuasaan serta aktiviti pencegahan penyakit. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurangan kuota subsidi petrol RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan memberi kesan kepada Pembantu Kesihatan Awam (PKA) yang bergantung kepada mobiliti harian untuk menjalankan tugas di lapangan.

Setiausaha Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam, Izhar Affendy Ismail berkata, tugas PKA melibatkan pergerakan berterusan ke pelbagai lokasi termasuk kawasan luar bandar bagi menjalankan pemeriksaan, penguatkuasaan serta aktiviti pencegahan penyakit.

“Mobiliti ini bukan pilihan tetapi keperluan asas untuk memastikan perkhidmatan kesihatan awam berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pergerakan menggunakan kenderaan peribadi dengan kos bahan api ditanggung sendiri, menjadikan pengurangan kuota tidak selari dengan keperluan sebenar tugas di lapangan.

Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja menambah beban kewangan, malah boleh menjejaskan kecekapan operasi terutama dalam kes yang memerlukan tindakan segera.

Yang Dipertua Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Semenanjung Malaysia, Elmy Quttaibah Samsunorial turut menegaskan keperluan mobiliti tinggi dalam kalangan PKA perlu diambil kira dalam penetapan dasar.

Sehubungan itu, kesatuan berkenaan menggesa kerajaan mengembalikan semula kuota subsidi kepada 300 liter bagi memastikan kelancaran tugas petugas kesihatan awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast