PUTRAJAYA – Badan Peguam Malaysia menghujahkan di Mahkamah Rayuan hari ini, permohonan Peguam Negara agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan dikhuatiri menghakis kepercayaan awam terhadap integriti dan sistem keadilan.
Peguam, Datuk S. Ambiga yang mewakili badan itu berhujah, keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid diambil walhal kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadapnya.
Hujahnya, keputusan untuk menghentikan pendakwaan juga dicapai selepas Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ambiga berkata, Ahmad Zahid yang didakwa terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi ketika itu telah membela diri dengan mengemukakan 15 saksi termasuk beliau.
Katanya, Ahmad Zahid (responden kedua) telah dibicarakan selama 77 hari dan Mahkamah Tinggi telah mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan sebelum mendapati kes prima facie berjaya dibuktikan.
Hujahnya, dalam hal ini, penting untuk diingatkan tentang pepatah undang-undang bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga dilihat perlu dilakukan.
“Cara dan justifikasi yang diambil oleh Peguam Negara ketika memohon DNAA tidak menggalakkan ketelusan, melindungi orang ramai mahupun mengekalkan integriti institusi awam.
“Sebaliknya, keputusan DNAA bersandarkan kepada asas penyiasatan lanjutan (tanpa bukti apa-apa penyiasatan diteruskan lebih daripada satu setengah tahun kemudian), tanpa dikemas kini.
“Status yang didakwa berkaitan penyiasatan tanpa alasan penuh diberikan oleh Peguam Negara, telah melepasi `ambang tinggi’ (threshold), mewajarkan kebenaran diberikan dalam permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan tersebut,” hujah Ambiga.
Oleh yang demikian, Badan Peguam menghujahkan, keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA adalah menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
Selain itu, hujah Ambiga, kegagalalan Peguam Negara menyatakan tempoh masa terhadap perintah DNAA sebagai tidak munasabah.
“Penting untuk memastikan bahawa perintah DNAA dilaksanakan untuk tempoh masa tertentu,” hujah beliau.
Sehubungan itu, Badan Peguam menghujahkan ia wajar diberi kebenaran untuk mencabar keputusan Peguam Negara yang disifatkan dibuat tidak selari dengan kepentingan awam.
Badan Peguam merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang tidak membenarkannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang juga pendakwa raya.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan beliau supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September 2023 dibatalkan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.
Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin menetapkan 15 April bagi hujahan lanjut. – MalaysiaGazette















