Hasrin berucap pada sesi townhall dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Hari Raya Aidilfitri di Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pembinaan Jalan Utama Projek Pusat Data (ZDATA) di sini yang sepatutnya siap pada penghujung Mac lalu masih belum diselesaikan.

Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Hasrin Kamal Hashim berkata, proses itu dijangka mengambil masa tambahan antara dua hingga tiga bulan untuk siap sepenuhnya.

“Jalan ini merupakan komponen penting pembangunan kerana akan berfungsi sebagai laluan utama bagi semua jenis kenderaan ringan atau berat.

“Jalan ini merupakan laluan utama pembangunan kawasan ini dan akan digunakan oleh semua jenis kenderaan,” katanya ketika berucap pada sesi townhall dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Pihaknya mengambil maklum cadangan penduduk yang mencadangkan pemasangan palang bagi mengehadkan penggunaan jalan kepada kenderaan ringan sahaja.

“Namun, memandangkan projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri dan jalan ini adalah jalan utama, ia tidak dapat dielakkan daripada digunakan kenderaan berat,” katanya.

Dalam masa sama, Hasrin memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan penduduk akan terus diberi keutamaan, khususnya dalam menangani kebimbangan berkaitan peningkatan trafik di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk pemasangan lampu isyarat, pembinaan bonggol jalan serta inisiatif lain bagi mengawal kelajuan kenderaan.

“Langkah ini penting untuk memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast