BALAKONG – Seramai 133 warga asing ditahan dalam Ops Mega yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua premis perindustrian di Balakong dan Shah Alam, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pukul 11 pagi itu melibatkan 145 pegawai pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKD); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 162 individu, seramai 133 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan membabitkan pelbagai warganegara termasuk Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, Vietnam dan China.
“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta memiliki dokumen yang tidak diiktiraf,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook JIM hari ini.
Tambah beliau, dalam operasi sama, JKDM turut merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai.

Ujar beliau, pihaknya telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM42.6 juta terhadap 2,286 majikan kerana menggaji warga asing tanpa dokumen sah bagi tempoh 2025 hingga Februari tahun ini.
“JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu serta majikan yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya. -MalaysiaGazette
















