Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan biodiesel B100 berasaskan minyak sawit bukan lagi satu pilihan alternatif, sebaliknya keperluan strategik negara dalam mendepani ketidaktentuan harga bahan api global dan tekanan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah berani dan tepat oleh Felda dan industri sawit negara.

Bagaimanapun kata beliau, pelaksanaannya tidak boleh bersifat terhad atau berskala kecil.

“Kerajaan dan agensi berkaitan perlu mempercepatkan peluasan penggunaan B100 secara menyeluruh, khususnya dalam ekosistem Felda yang melibatkan ratusan ribu hektar ladang serta puluhan ribu jentera operasi.

“Hakikatnya, setiap peningkatan permintaan terhadap minyak sawit domestik akan memberi kesan langsung kepada harga komoditi dan seterusnya menentukan kelangsungan ekonomi lebih 100,000 peneroka Felda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam keadaan kos input pertanian yang semakin meningkat, sebarang dasar yang mampu menstabilkan harga sawit perlu dilaksanakan dengan tegas dan konsisten.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berpendirian Felda perlu memberi keutamaan zon perintis nasional B100, bukan sekadar projek rintis berskala kecil.

Menurut beliau, penglibatan koperasi peneroka seperti Koperasi Permodalan Felda perlu diperkasakan supaya rantaian nilai biofuel itu tidak dimonopoli oleh pihak luar.

Tambahnya, subsidi dan insentif bersasar perlu disalurkan supaya penggunaan B100 benar-benar memberi manfaat kepada peneroka, bukan sekadar angka dalam laporan.

Ahmad Faizal berkata, kegagalan untuk bertindak secara agresif dalam agenda biofuel akan menyebabkan negara terus bergantung kepada import diesel, sekali gus membiarkan kekayaan komoditi sawit negara tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.

Sementara itu, katanya, MBFM melihat B100 sebagai peluang kepada ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau.

Justeru, ujarnya, generasi muda Felda perlu diberi ruang dalam rantaian inisiatif berkenaan khususnya daripada aspek logistik, penyelidikan, kejuruteraan hingga keusahawanan biofuel, agar mereka bukan sekadar pewaris ladang, tetapi pemain industri masa depan.

“Sehubungan itu, MBFM menyeru satu pendekatan bersifat whole-of-nation dalam menjayakan agenda B100, dengan Felda sebagai peneraju utama, demi menjamin kedaulatan tenaga negara dan kestabilan ekonomi peneroka,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan B100 biodiesel berpotensi muncul sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih kompetitif dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap diesel konvensional.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast