Pengusaha bot nelayan kelas C2 berhimpun secara aman bagi menyerahkan surat cadangan permohonan pengurangan harga diesel kepada pengusaha bot nelayan kelas C2 di sini hari ini

KUANTAN – Krisis kos operasi yang semakin melonjak kini meletakkan industri perikanan laut dalam negara di ambang lumpuh apabila sehingga 50 peratus bot nelayan kelas C2 dijangka menghentikan operasi menjelang hujung bulan ini.

Ia disebabkan harga diesel industri tanpa subsidi yang kini berada pada paras RM6.72 hingga RM7.42 seliter yang disifatkan kadar tidak masuk akal, sekali gus  memusnahkan kelangsungan operasi pengusaha.

Wakil pengusaha bot laut dalam C2 Pantai Timur, Zarir Yaakob, berkata, peningkatan kos operasi mendadak menjadi punca utama tekanan yang dihadapi pemain industri, khususnya melibatkan harga diesel yang terus meningkat serta kebergantungan kepada operasi laut dalam yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Zarir Yaakob

“Jika keadaan ini berterusan, ramai pengusaha tidak lagi mampu bertahan. Ia bukan sekadar isu keuntungan, tetapi soal kelangsungan hidup industri.

“Bagi satu perjalanan laut selama dua minggu, sebuah bot C2 memerlukan sekitar 15,000 liter diesel, menjadikan kos bahan api sahaja hampir RM100,000,” katanya.

Ujarnya, jumlah tersebut belum termasuk kos lain yang turut meningkat secara mendadak seperti ais, bekalan makanan anak kapal serta peralatan operasi termasuk tali unjam dan pelampung.

Keadaan itu, jelas beliau, dijangka memberi kesan drastik apabila dianggarkan sehingga 50 peratus daripada kira-kira 450 bot C2 di Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Endau berkemungkinan terpaksa menghentikan operasi menjelang akhir bulan ini.

Para pengusaha bot nelayan laut dalam (C2) menyuarakan keresahan akibat kenaikan harga diesel yang boleh membunuh pencarian rezeki nelayan.

Situasi tersebut, katanya, dilihat bukan sekadar krisis industri, malah berpotensi berkembang menjadi krisis bekalan makanan negara sekiranya tidak ditangani segera.

“Dengan keadaan sekarang, kami bukan lagi bercakap soal untung atau rugi, tetapi soal mampu atau tidak untuk terus hidup.

“Bukan untuk apa-apa, selain daripada untuk mencari bekalan ikan kepada seluruh rakyat di negara kita, itu sahaja.

“Hari ini harga diesel RM6.72 sen, harga industri RM7.42. Kami tidak dapat subsidi, C2 tak ada subsidi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, subsidi diesel bagi bot C2 telah dihentikan sejak 2019, menyebabkan operator terpaksa menanggung sepenuhnya harga pasaran diesel industri.

Golongan operator C2 mendesak kerajaan membantu bagi memastikan mereka mampu turun ke laut mencari sumber makanan protein buat rakyar Malaysia

Bagaimanapun, ujarnya, bot nelayan kelas lain (ABC) masih menikmati subsidi pada kadar sekitar RM1.60 seliter, sekali gus mewujudkan jurang ketara dalam kos operasi antara kategori vesel.

Susulan itu, jelas beliau, operator C2 merayu agar kerajaan meluluskan harga diesel bersubsidi khas pada kadar RM2.50 seliter bagi memastikan mereka mampu terus beroperasi.

Menurutnya, kadar tersebut masih lebih tinggi berbanding subsidi sedia ada untuk bot lain, namun cukup untuk memberi ruang bernafas kepada pengusaha yang kini terhimpit.

Tambahnya, berbeza dengan bot nelayan pesisir, operasi C2 melibatkan pelayaran sehingga 150 batu nautika ke laut dalam, dengan enjin perlu beroperasi secara berterusan sepanjang perjalanan dari jeti hingga kembali ke darat.

“Ini bukan permintaan untuk keuntungan, tetapi untuk kami terus menjalankan tanggungjawab membekalkan ikan kepada rakyat.

“Kita cuma pastikan bot bergerak dan sampai semula ke jeti membawa hasil,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengusaha bot C2 di Kuantan, Tan Kok Lian, 55, berharap agar pihak kerajaan membantu para operator bot C2 mendepani krisis yang melanda golongan nelayan daripada turun ke laut.

“Kita memohon bantuan kerajaan kerana kita sudah terdesak dengan harga minyak sekarang.

“Kalau kerajaan tak tolong kami, kebanyakan pengusaha bot ikan ini akan `tertambat’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast