KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi isyarat jelas bahawa reformasi sektor tenaga negara tidak lagi boleh ditangguhkan apabila peluasan grid, pembaharuan tarif dan penglibatan sektor korporat kini dijadikan agenda keutamaan nasional.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga komponen tersebut merupakan pemangkin utama untuk membuka pintu pelaburan swasta berskala besar dalam peralihan tenaga negara.
Menurut beliau, tanpa peluasan grid secara agresif, potensi tenaga boleh diperbaharui berisiko terperangkap dan gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna serta sektor industri.
“Tenaga boleh diperbaharui bukan lagi kekangan utama. Kekangan sebenar ialah keupayaan penghantaran. Tanpa pengembangan grid, cita-cita kita akan kekal tersekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 bertemakan Komitmen kepada Pelaksanaan: Mengurus Peralihan Air dan Tenaga Malaysia ke 2030 di Pusat Dagangan Dunia, (WTCKL), hari ini.
Fadillah menegaskan pembaharuan struktur tarif tidak dapat dielakkan kerana sistem subsidi sedia ada memberi tekanan terhadap kelestarian jangka panjang sektor tenaga.
“Subsidi mungkin melegakan masa kini, tetapi membebankan masa depan. Sistem mampan mesti mencerminkan kos sebenar agar pelaburan dapat mengikutinya,” katanya.
Tambah beliau, tarif yang realistik mampu meningkatkan keyakinan pelabur selain memastikan ekosistem tenaga negara kekal berdaya tahan.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan mahu sektor korporat memainkan peranan lebih agresif melalui pemanfaatan rangka kerja sedia ada bagi mempercepatkan aliran modal swasta.
Katanya, pelabur kini menuntut kejelasan dasar, kestabilan peraturan dan perjanjian yang diyakini sebelum membuat keputusan pelaburan besar.
“Modal tidak bergerak atas dasar optimisme semata-mata. Ia bergerak apabila wujud kepastian.
“Modal bergerak atas kepastian, bukan optimisme,” ujarnya.
Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata, Malaysia kini memasuki fasa pelaksanaan sebenar peralihan tenaga dan pengurusan air, bukan lagi sekadar merangka dasar atau membuat komitmen di peringkat global.
“Permintaan elektrik meningkat didorong digitalisasi, pusat data dan pertumbuhan industri, namun grid sedia ada tidak direka untuk menampung kadar pertumbuhan ini,” katanya.
Menurutnya, sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan 70 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga negara hanya boleh dicapai melalui pelaksanaan projek secara konsisten.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peralihan daripada bahan api fosil perlu dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan keselamatan tenaga kekal terjamin di tengah ketidaktentuan geopolitik dunia.
Menyentuh sektor air, Fadillah mendedahkan Malaysia kehilangan lebih 30 peratus air terawat, malah di sesetengah negeri melebihi 40 peratus, sekali gus menuntut reformasi segera termasuk penggunaan teknologi pintar dan keputusan dasar yang lebih berani. – MalaysiaGazette
















