KUALA LUMPUR – Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan adalah sesuatu yang sangat pelik apabila persatuan agama bukan Islam mahu menganjurkan majlis yang mempunyai kaitan dengan agama Islam.
Menurut beliau, keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini bukan tiket untuk melakukan segala-galanya.
“Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami. Hormatilah sensitiviti itu.
“Jangan normalisasi program sebegini walaupun atas nama harmoni,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dirancang dianjurkan persatuan tokong berhampiran sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bagan Ajam, Butterworth pada 11 April ini dibatalkan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan pembatalan program asal yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu susulan aduan yang diterima berkaitan kekeliruan poster penganjuran majlis tersebut.
Sementara itu, Zainul Rijal mengucapkan tahniah kepada JHEAIPP dan Mufti Pulau Pinang yang melarang program tersebut.
Menurutnya, walaupun tiada ibadah Islam akan dilakukan di dalam program tersebut, namun ia masih tidak sesuai dianjurkan bukan Islam.
“Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam pekarangan rumah anutan bukan Islam,” katanya.
Difahamkan, sebagai alternatif, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan bersama penduduk Bagan Ajam pada 11 April ini, pukul 8 malam di Dewan Panorama Bagan Ajam. – MalaysiaGazette
















