Sumber SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April ini terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.

“Siasatan awal turut mendapati urus niaga penjualan saham tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal sehingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya.

Sehubungan itu, menurut sumber, siasatan telah  dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM termasuk penggeledahan di 13 lokasi utama yang merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat dan kediaman individu-individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

Selain tangkapan, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast