Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu program pelaburan forex yang disyaki tidak sah susulan kerugian besar melibatkan ratusan mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, seramai 432 individu tampil membuat aduan dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM111.8 juta.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini hadir ke BNM bagi mendapatkan campur tangan pihak berkuasa selain memastikan siasatan teliti dijalankan terhadap program pelaburan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa mengesyaki program ini tidak melibatkan aktiviti perdagangan forex sebenar, sebaliknya hanya satu mekanisme untuk mengumpul dana daripada orang awam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini selepas hadir ke BNM semalam.

Menurutnya, mangsa turut mempersoalkan ketelusan platform pelaburan yang digunakan kerana dipercayai dikawal sepenuhnya oleh pihak tertentu tanpa pemantauan jelas.

“Mereka meragui kesahihan sistem pelaburan ini kerana tiada ketelusan, malah kawalan dipercayai hanya di tangan pihak tertentu,” katanya lagi.

Tambah beliau, mangsa didakwa dipujuk menyertai pelaburan berkenaan melalui pelbagai bahan promosi termasuk janji pulangan tetap dan konsisten dalam tempoh tertentu.

“Namun, keadaan semasa menimbulkan keraguan apabila pulangan yang dijanjikan tidak selari dengan realiti, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap kesahihan operasi tersebut,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, MHO turut memohon BNM meneliti sama ada wujud pelanggaran undang-undang termasuk di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 berkaitan pengambilan deposit tanpa lesen.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran bagi memastikan perlindungan kepada pelabur.

“Semua mangsa bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan sehingga ke peringkat pendakwaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kehadiran MHO bersama mangsa bukan bertujuan mencetuskan polemik atau membuat sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Kami hadir untuk menyuarakan nasib ratusan mangsa yang merasakan diri mereka dikhianati.

“MHO berharap institusi keadilan negara dapat tampil memberikan perlindungan serta memastikan tiada mana-mana pihak yang kebal daripada tindakan undang-undang,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast