Anggota polis mengiringi 34 individu yang terlibat dalam kes rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 32 lelaki dikenakan denda RM3,000 atau penjara empat bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai rusuhan di sebuah pusat hiburan yang videonya tular minggu lalu.

Majistret Faezahnoor Hassan turut mengenakan denda RM2,000 atau penjara tiga bulan terhadap dua pesalah muda berumur 19 tahun kerana melakukan perbuatan serupa.

Kesemua 32 lelaki itu terdiri daripada Tan Chee Chin, G. Bathmanathan, M.K. Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.

Mereka yang lain ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G. Srikanth, A. Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.

Menurut pertuduhan, kesemua 34 lelaki itu berumur di antara 19 dan 57 tahun termasuk seorang berkerusi roda.

Mereka antaranya bekerja sebagai penghantar makanan, pembantu restoran dan peniaga secara dalam talian.

Kesemua 34 lelaki tersebut didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, amunisi dan bahan letupan yang boleh mencederakan serta senjata seperti kayu, batu atau bahan yang boleh digunakan untuk melakukan serangan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 7.30 petang, 5 April lalu di sebuah pusat karaoke di Cheras di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Anggota polis mengiringi 34 individu yang terlibat dalam kes rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2026.

Pada prosiding itu, peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya menyesal terhadap perbuatan tersebut dan memohon maaf selain berjanji akan mematuhi undang-undang.

Menurut peguam, anak guamnya memberi kerjasama ketika ditangkap polis dan telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon hukuman setimpal kerana kes tersebut melibatkan sejumlah tertuduh yang ramai selain menimbulkan kekecohan dan kegentaran awam.

Menurut fakta kes, pihak polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan menggunakan lori dan melanggar pintu pagar.

Fakta menyatakan, sekumpulan lelaki tersebut bertindak melakukan khianat dengan memecahkan barang di kawasan tersebut manakala siasatan polis mendapati, suspek menggunakan senjata untuk melakukan serangan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 45 individu termasuk dua pelajar sekolah berusia 14 tahun ditahan berhubung serangan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Ahad lalu yang dipercayai bermotifkan dendam peribadi antara pemilik kelab dan pesaing perniagaan.

Rakaman mengenai kejadian ceroboh dan rusuhan itu juga tular yang dipercayai dilakukan oleh lebih 60 individu memakai topeng penutup muka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast