Sebuah pusat peranginan menyediakan hidangan tenggeling di Semporna, Sabah disiasat pihak berkuasa baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan dan kemarahan terhadap pendedahan sebuah pusat peranginan di Semporna yang didakwa menghidangkan daging tenggiling, perbuatan yang melanggar undang-undang serta tidak bermoral.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tenggiling merupakan antara spesies paling terancam di dunia akibat pemburuan haram dan pemerdagangan hidupan liar yang didorong permintaan terhadap daging serta sisiknya.

Menurutnya, spesies itu dilindungi sepenuhnya di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) yang melarang sebarang perdagangan komersial, sekali gus menjadikan tindakan berkenaan sebagai tidak boleh diterima.

“Pihak berkuasa hidupan liar Sabah telah mengesahkan tiada sesiapa dibenarkan memiliki, menjual atau menghidangkan tenggiling dalam apa jua bentuk.

“Serbuan di pusat peranginan terbabit menemukan tenggiling hidup dan hidangan yang telah dimasak, dengan kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 serta hukuman penjara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tindakan pusat peranginan itu bukan sahaja mencabuli undang-undang, malah menunjukkan sikap tidak menghiraukan usaha pemuliharaan dan etika asas, sedangkan industri hospitaliti sepatutnya menjadi penjaga kepada alam sekitar.

“Perbuatan ini menyumbang kepada kemusnahan spesies rentan selain menjejaskan usaha pemuliharaan global.

“Perdagangan hidupan liar haram juga sering dikaitkan dengan jenayah terancang, rasuah serta risiko kesihatan awam termasuk penyebaran penyakit zoonosis,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa pihak pengurusan pusat peranginan terbabit tampil bertanggungjawab dengan mengambil tindakan segera dan telus termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, menjalankan siasatan dalaman serta memperketat dasar pematuhan.

Tambahnya, pembaharuan menyeluruh perlu dilaksanakan termasuk latihan mandatori kepada kakitangan mengenai undang-undang hidupan liar, kerjasama dengan pertubuhan pemuliharaan dan pelaksanaan dasar kemampanan yang jelas.

“Eksploitasi spesies terancam bukan sahaja menjejaskan biodiversiti dan ekosistem, malah mengancam warisan semula jadi.

“Tiada justifikasi terhadap apa yang berlaku dan tidak seharusnya ada toleransi untuk ia berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast