PONTIAN – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menerima kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun sekiranya jumlah pendaftaran mencapai sehingga 400,000 murid.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, setakat ini, pendaftaran tertinggi diterima di kawasan bandar, khususnya di Selangor dan Johor selaras dengan kepadatan penduduk serta peningkatan permintaan ibu bapa terhadap kemasukan awal ke sekolah rendah.
“KPM merangka pelbagai persediaan awal termasuk tiga langkah intervensi bagi memastikan proses kemasukan murid berusia enam tahun berjalan lancar, meliputi aspek kemudahan sekolah, tenaga pengajar serta logistik di seluruh negara.
“Kita ada tiga langkah. Pertama, kita akan menggunakan bilik darjah baharu sekiranya terdapat ruang-ruang yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Sokongan Profesional (PSP) Dasar Pendidikan Digital (DPD) bersama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Adnan di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Aniza Kamarulzaman dan Guru Besar SK Parit Haji Adnan, Samsul Satari.
Pada 3 Mac lalu di Dewan Negara, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan permohonan kemasukan Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun menerima sambutan positif daripada ibu bapa apabila mencatatkan sebanyak 351,789 permohonan bagi sesi 2027.
Jumlah tersebut turut merangkumi 51,457 kanak-kanak berumur lima tahun yang turut didaftarkan dalam permohonan berkenaan.
Aminuddin berkata, langkah kedua pihaknya akan melaksanakan sistem sesi iaitu jika perlu dengan menjalankan pengajaran dalam dua sesi.
Langkah tersebut, katanya, akan memberikan kelegaan kepada murid terutamanya di kawasan-kawasan padat.
Ketiga pula, jelasnya, KPM akan mengubah fungsi bilik darjah sedia ada yang mungkin melibatkan kerja-kerja ubah suai dan naik taraf.
Dalam pada itu, Aminuddin tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir ibu bapa yang terlepas membuat pendaftaran anak berusia enam tahun ke Tahun Satu selepas 31 Mac lalu.
Bagi ibu bapa yang terlepas tarikh berkenaan, katanya, permohonan masih boleh dibuat secara manual di sekolah sehingga hujung tahun.
“Setakat ini, kira-kira 72,000 murid berusia enam tahun telah didaftarkan untuk memasuki Tahun Satu. Angka ini akan terus meningkat sehingga akhir tahun.
“Kita sudah bersedia dan kita akan bantu anak-anak ini sebaik mungkin dan ibu bapa tidak perlu risau. Apabila kita membuat perancangan tersebut, kita menjangkakan full cohort maksudnya 100 peratus,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















